Sunday, May 08, 2011

Makbulnya Doa Seorang Ibu

Makbulnya Doa Seorang Ibu
Dahulu kala di negeri Arab ada seorang pemuda yang sangat terhormat. Setiap orang mencintainya kerana budi dan amalnya. Ilmunya yang tinggi menyebabkan namanya bertambah harum. Ibunya sangat bahagia sekali mempunyai anak yang dihormati oleh setiap orang. Itulah sebabnya mengapa anaknya tidak diperbolehkan menuntut ilmu ke negeri jauh.
Pada suatu hari anaknya yang sangat dicintai ini menghendaki pergi ke Mekah. Maksudnya ingin menambah ilmunya ke negeri yang sangat mulia itu. Tentu sahaja ibunya sangat keberatan apabila anaknya merantau ke Mekah. Apalagi dia akan bermukim di sana beberapa tahun.
"Anakku!" kata ibunya pada suatu malam.
"Engkau adalah mutiara hatiku. Ibu sangat tersiksa apabila engkau pergi ke Mekah. Ibu sudah tua, maka sangat berat sekali jika berpisah dengan engkau. Batalkan niatmu nak!" Kata ibunya menasihati.
Akan tetapi kerana tekad anaknya yang sudah tak dapat dibendung lagi, berangkatlah ia ke Mekah. Nasihat ibunya sudah tak dihiraukan lagi.
Sekarang ibunya tinggal sendirian di rumah dengan deraian air mata. Hatinya menjadi sakit sekali kalau mengingatkan anaknya yang tak memperdulikan nasihatnya itu.
"Ya, Tuhan," demikian ibunya merintih.
"Sesungguhnya anakku telah membakar hati hamba, dengan pemergiannya. Turunkanlah siksa kepada anakku, Ya Tuhan."
Hampir setiap malam ibunya berdoa demikian.
Anaknya pada waktu itu telah sampai di Mekah. Dengan giat sekali ia mencari ilmu dan beribadah di sana. Pada suatu malam yang buta, terjadilah satu musibah menimpa dirinya. Pada waktu itu ada seorang pencuri masuk ke rumah seorang saudagar kaya. Tetapi malang bagi pencuri kerana perbuatannya diketahui oleh tuan rumah. Pencuri itu lalu lari lintang pukang menyelamatkan diri. Tetapi jejaknya ini telah diekori oleh tuan rumah.
"Ah, cilaka aku jika aku tidak mencari akal," kata pencuri di dalam hati, "Biarlah aku masuk ke masjid, mungkin aku dapat menyelamatkan diri."
Kebetulan ketika dia sampai di masjid dilihatnya orang yang sedang berzikir. Dengan licik sekali lantas dia berteriak-teriak sambil menuding-nuding orang yang sedang berzikir.
"Pencuri, pencuri..... " teriaknya keras sekali.
Tuan rumah ketika sampai di masjid langsung sahaja menangkap orang yang disebut pencuri itu. Tanpa fikir panjang lagi dia lalu diseret dihadapkan kepada raja. Malang bagi dia, kerana raja memberi hukuman kepadanya dengan dipotong tangannya, kakinya dan dicungkil kedua matanya. Setelah itu raja memerintahkan kepada hulubalangnya untuk mengarak pencuri itu di hadapan umum.
"Inilah akibatnya kalau cuba mencuri barang orang," kata pegawai raja di sepanjang jalan.
Sewaktu arakkan sampai di pasar berkatalah orang yang dituduh mencuriitu kepada pegawai raja:
"Wahai pegawai! Janganlah engkau berkata begitu tetapi katakanlah begini: Inilah balasannya kalau orang durhaka kepada ibunya. Ayuh, katakanlah begitu!"
Para pegawai pun menjadi hairan sekali mendengarkan saranan yang dituduh itu.. Hatinya menjadi ragu, apakah betul ucapannya itu atau pura-pura. Ternyata setelah diselidiki lagi orang yang didakwa sebagai pencuri itu betul-betul bukan pencurinya. Para pegawai raja kemudian membebaskannya untuk dihantar ke rumah ibunya.
Ketika sampai di rumah maka para pegawai raja meletakkannya di muka pintu rumahnya. Keadaannya yang cacat ini menyebabkan dia tidak dapat berbuat apa-apa kecuali hanya memanggil-manggil dari luar. Dari dalam rumah dia mendengar ibunya sedang beroda:
"Ya Allah, apabila telah turun cubaan kepada anakku, kembalikanlah dia ke rumah ini supaya hamba dapat melihatnya." Doa ini diucapkan oleh ibunya berulang-ulang kali sampai ada suara anaknya yang berpura-pura menjadi pengemis, "Ya tuan, berilah hamba sedekah."
"Datanglah ke sini mendekat pada pintu," terdengar suara dari dalam.
"Bagaimana tuan saya dapat mendekat, padahal saya tak punya kaki," jawab anaknya.
"Kalau begitu hulurkan sahaja tanganmu," jawab ibunya dari dalam.
"Tuan, maafkanlah hamba kerana hamba tak punya tangan, tangan hamba telah dipotong."
"Jika demikian bagaimana aku dapat memberimu, padahal aku bukan muhrimmu?" jawab ibunya.
"Tuan, janganlah tuan khuatir sebab kedua mata hamba telah buta," jawab anaknya.
Ibunya yang belum mengerti bahawa pengemis itu sebetulnya adalah anaknya sendiri, terpaksa keluar dengan membawa sepotong roti. Tetapi ketika roti itu diberikan, tiba-tiba pengemis merebahkan dirinya di pangkuan ibunya sambil menangis.
"Ibu...... maafkanlah ibu! Sebetulnya hamba adalah anakmu sendiri yang telah mengalami nasib seperti ini, Ibu, hamba merasa berdosa kepada ibu, maafkanlah ibu."
Ibunya yang setelah mengetahui nasib anaknya yang mengerikan itu lalu berkata:
"Ya Tuhan, saksikanlah bahawa semua kesalahan anakku telah hamba maafkan. Tetapi sungguh mengerikan siksa anakku ini Ya Tuhan. Hamba tak sampai hati melihat keadaan anakku yang cacat sedemikian rupa. Ya Tuhanku, akhirilah hidupku ini bersama-sama anakku sehingga kami tidak menanggung malu lagi."
Doanya dikabulkan oleh Allah, dia dan anaknya mati bersama-sama. Demikian nasib anak yang tidak menuruti kepada orang tua, dan orang tua yang kurang reda kepada anaknya di dalam mencari ilmu. Ingatlah cakap ibu tu macam satu DOA KERAMAT…. Pada yang bergelar ibu, janganlah terlalu LASER sangat cakap yang bukan-bukan kalau marah pada anak, berpada-padalah dalam percakapan, manalah tahu dalam pada kita marah cakapkan yang bukan-bukan tu Allah SWT makbulkan cakap dah jadi lain pulak.
Tepuk dada tanyalah diri kita kerana hanya kita dan Allah SWT yg lebih mengetahui apa yang tersurat dan tersirat di dalam hati budi masing-masing.
EVERY DAY IS MOTHER DAY..SO HEPI MOTHER DAY TO ALL MOTHER

No comments:

Post a Comment